Polis Metropolitan London (Met) mengumumkan pelan penggunakan teknologi kamera pengecaman wajah secara langsung (Live Facial Recognition atau LFR) bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti suspek yang terlibat dengan jenayah.

Kamera berteknologi tinggi itu akan mensasarkan lokasi tumpuan ramai bagi mengenal pasti wajah yang tersenarai dalam 2,500 orang dikehendaki, terdiri dari suspek kes jenayah serius dan keganasan termasuk serangan senjata dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

Jelas Pembantu Pesuruhjaya Met, Nick Ephgrave, kamera itu akan fokus secara dekat di kawasan-kawasan sasaran sehingga mampu mengecam wajah individu yang sedang berjalan.

"Sebagai pasukan polis moden, saya percaya kami mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan teknologi ini bagi memastikan masyarakat di London berada dalam keadaan selamat.

"Kami menggunakan teknologi yang telah diuji malah ia seakan sama dengan kaedah yang digunakan di seluruh sektor swasta di United Kingdom (UK)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Ephgrave, bagaimanapun pihaknya akan bekerjasama dengan masyarakat setempat sebelum menggunakan teknologi LFR tersebut.

Teknologi pengecaman wajah secara langsung itu merupakan hasil ciptaan syarikat Jepun, NEC, yang menggunakan sistem secara persendirian.

Pada Oktober tahun lalu, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat UK telah membuat keputusan untuk menggunakan teknologi LFR tersebut yang akhirnya menimbulkan kebimbangan serius terhadap privasi dan ketepatan.

Rata-rata kebimbangan yang wujud mendakwa teknologi tersebut mendiskriminasi golongan wanita dan individu melalui warna kulit.