Jika kebiasaannya anjing pengesan K-9 digunakan untuk mengesan dadah, lain pula di Chile apabila anjing dilatih untuk mengenal pasti pesakit COVID-19.

Menurut laporan The Telegraph, pihak berkuasa di sana melatih anjing untuk mengesan jangkitan menerusi peluh dan bau badan manusia yang dijangkiti virus itu pada peringkat awal.

Malah, kaedah sama turut dilakukan di United Kingdom (UK) dan ia juga menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Difahamkan sebanyak empat ekor anjing spesies kacukan labrador dan golden retriever dipilih bagi menjalani latihan awal bagi misi itu.

Kesemua anjing itu dilatih di pangkalan latihan Chab Carabineros di ibu kota Santiago.

Selain COVID-19, anjing terlatih itu juga mampu mengesan penyakit lain seperti malaria, kanser dan Parkinson.

Jelas Pengarah Unit Latihan Anjing Pengesan Polis Khas, Leftenan Kolonel Cristian Acevedo Yanez anjing merupakan haiwan istimewa dan hebat kerana mempunyai lebih 3 juta reseptor bau.

Ia berkeupayaan menghidu 50 kali ganda lebih baik daripada manusia dan mampu membantu pasukannya memerangi jangkitan koronavirus di negara berkenaan.

“Peranan pihak kami (polis) adalah untuk bertindak pantas dan membiasakan diri dengan kelaziman baharu.

“Kaedahnya adalah dengan menempatkan anjing-anjing ini di tempat yang sesak seperti di sekolah, terminal bas dan lapangan terbang di mana ia boleh menghidu individu yang mempunyai jangkitan COVID-19 pada peringkat awal.

“Seterusnya, kami akan menahan individu itu dan segera melakukan saringan bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan,” kata Yanez.

Tambahnya, haiwan itu juga boleh memainkan peranan penting dalam memutuskan rangkaian COVID-19 dan membantu kerajaan memberi peluang membuka sekolah dan perniagaan secara berperingkat.

Terdahulu, dalam kajian berasingan, pengkaji di Perancis berkata anjing berupaya mengesan kehadiran COVID-19 pada badan manusia dengan menghidu di bahagian ketiak mereka.

Pengkaji di Universiti Veterinar Alfort, Paris juga telah melatih lapan ekor anjing spesies Belgian Malinois shepherd untuk mengesan COVID-19 menerusi bau badan yang diambil pada bahagian ketiak individu yang telah dijangkiti virus itu.