RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan tindakan seorang lelaki mencuri bekas dari pengepam cecair pembasmi kuman di Wad Quinton Hospital Umum Northampton, UK.

Rakaman itu menunjukkan suspek mencabut bekas tersebut dari dinding sebelum menyembunyikannya di dalam pakaian sebelum beredar.

"Seorang lelaki menarik bekas cecair pembasmi kuman dari dinding dan melarikan diri, mengakibatkan sedikit kerosakan pada dinding itu,” kata pihak hospital terbabit mengenai kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku, malah pihak hospital pernah mengeluarkan kenyataan mengenai sekurang-kurangnya tiga pam bekas cecair pembasmi kuman dicuri beberapa hari sebelumnya.

Kes itu turut disiasat polis yang dalam usaha mengesan suspek bagi mendapatkan keterangannya untuk membantu siasatan.

Cecair pembasmi kuman kini mendapat permintaan tinggi selepas berlakunya gelombang pembelian panik di tengah wabak COVID-19.

Banyak pasar raya dan farmasi tidak dapat menyediakan cecair pembasmi kuman untuk beberapa hari dengan beberapa penjual yang tidak bertanggungjawab dikesan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.