Polis Britain mendedahkan foto pengebom bunuh diri, Salman Abedi, pada malam dia membunuh 22 mangsa dalam serangan nekad di konsert penyanyi Ariana Grande yang berlangsung di Manchester Arena pada 23 Mei lalu.

Ketua Konstabel Polis Manchester, Ian Hopkins berkata sebuah pangsapuri di tengah bandar juga dipercayai menjadi tempat Abedi menyimpan semua barang dan perantinya.

"Kita dimaklumkan salah satu tempat terakhir dikunjungi Abedi ialah flatnya di pusat bandar dan dari sana dia ke Manchester Arena.

"Flat itu sangat relevan sebagai lokasi yang dipercayai tempat terakhir untuk pemasangan peranti," katanya dalam satu kenyataan media bersama Penyelaras Kanan Kebangsaan Anti Keganasan UK, Neil Basu.

Hopkins dan Basu berkata pihaknya telah mengumpul maklumat penting mengenai Abedi. Antaranya Abedi, 22, ialah seorang rakyat Britain daripada keluarga berketurunan Libya.

Maklumat lain termasuk bagaimana bom itu dibuat, siapa rakan-rakannya, latar belakang kewangan, dan tempat yang dikunjungi.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih memerlukan maklumat daripada orang ramai tentang pergerakan Abedi bermula dari 18 Mei sekembalinya ke Britain.

Siasatan kini melibatkan 1,000 pegawai polis, dan keutamaan adalah untuk menyiasat jika ada ramai lagi individu yang terlibat dalam merancang serangan itu.