Enam orang ditahan berhubung dakwaan cuba melakukan serangan terhadap peserta yang terlibat dalam larian marathon di Berlin, Jerman.

Akhbar tempatan Die Welt melaporkan polis berjaya mematahkan percubaan kesemua suspek untuk melakukan serangan dengan menggunakan pisau.

Menurut Die Welt lagi, suspek utama dilaporkan mengenali Anis Amri yang merupakan dalang utama yang melakukan pembunuhan terhadap 12 orang dan mencederakan 56 mangsa di pasar Krismas di Berlin pada Disember 2016.

Ketika kejadian, Anis Amri memandu sebuah trak dan bertindak merempuh kesemua mangsa dan beliau akhirnya ditembak mati di Milan, Itali, empat hari selepas kejadian ketika dalam percubaan melarikan diri.

Suspek utama yang merancang serangan ini dikatakan ingin membalas dendam dengan apa yang terjadi kepada Anis Amri.

Sebelum acara larian marathon ini bermula, pihak polis Berlin juga melakukan serbuan terhadap sebuah apartmen yang pernah diserbu semasa kejadian rempuhan di pasar Krismas itu.

Susulan laporan rancangan serangan itu, acar larian marathon tersebut telah dikawal ketat oleh 630 pegawai polis.