Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong meminta maaf atas perbalahan antara beliau dan adik-beradiknya yang tertumpu kebanyakan kepada rumah mendiang bapa mereka, Lee Kuan Yew yang terletak di No 38, Oxley Road.

"Saya amat kesal bahawa pertelingkahan ini telah menjejaskan reputasi Singapura dan keyakinan rakyat Singapura dalam Kerajaan," kata beliau dalam klip video berdurasi 3.42 minit yang dimuatkan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Sepanjang minggu lepas, Lee berkata rakyat Singapura telah terganggu dan keliru dengan berita mengenai perbalahan peribadi antara adik-beradiknya dan beliau.

"Sebagai Perdana Menteri anda, saya memohon maaf atas perkara ini. Dan sebagai anak sulung daripada dua beradik, Saya berasa dukacita memikirkan kesedihan ini yang tentunya dirasai oleh ibu bapa kita jika mereka masih hidup," kata beliau.

Lee berkata beliau telah melakukan segala yang mungkin untuk mengelakkan situasi ini.

"Bapa saya meninggalkan hartanah di 38 Oxley Road kepada saya sebagai sebahagian daripada bahagian saya yang sama rata daripada hartanya tetapi adik-beradik saya tidak berpuas hati tentang perkara ini. Saya cuba untuk menangani rasa tidak puas hati mereka secara peribadi. Saya menawarkan untuk memindahkan 38 Oxley Rd kepada adik saya untuk nominal S$1. Malangnya tawaran itu gagal. saya kemudian menjual rumah tersebut kepada adik saya mengikut penilaian pasaran yang adil, dan mendermakan semua hasil jualan kepada badan amal.

"Saya berharap bahawa ini akan memuaskan hati mereka. Tidak ada sebab untuk berbalah lagi kerana saya tidak lagi memiliki rumah itu dan saya tidak mengambil bahagian dalam apa-apa keputusan kerajaan mengenai rumah tersebut. Bagaimanapun, adik-beradik saya membuat keputusan untuk membuat pendedahan dan membuat tuduhan serius secara umum.

"Sebagai contoh, mereka berkata bahawa saya menggunakan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri untuk mempengaruhi Jawatankuasa peringkat Menteri yang dipengerusikan oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri) Teo Chee Hean. Dakwaan-dakwaan ini melangkaui hal-hal sulit dan peribadi dan sehingga meliputi urusan pejabat saya dan integriti kerajaan," kata beliau.

Sebagaimana saya mahu meneruskan tugas, dan mengakhiri pengalaman yang paling pahit ini bagi rakyat Singapura, tuduhan tidak berasaskan ini tidak boleh dibiarkan tidak terjawab," kata Lee.

"Tuduhan-tuduhan itu mesti dan ditangani secara terbuka dan disangkal," kata Lee.

Lee berkata apabila Parlimen bersidang pada 3 Julai, 2017, beliau akan membuat Kenyataan Menteri bagi menyangkal tuduhan tersebut.

"Semua MP (Ahli Parlimen) kemudian akan mempunyai peluang untuk mengemukakan soalan untuk diri mereka dan pengundi yang mereka mewakili. Saya telah mengarahkan sokongan parti PAP (Parti Tindakan Rakyat) ditarik balik. Saya menggesa semua ahli parlimen termasuk ahli parlimen bukan PAP untuk mengkaji isu-isu itu dengan teliti dan menyoal saya dan rakan-rakan saya dalam kabinet secara bersungguh-sungguh," kata beliau.

Lee berharap bahawa perbahasan umum sepenuhnya di Parlimen akan menghilangkan sebarang keraguan yang mungkin terpahat dan mengukuhkan keyakinan dalam institusi dan sistem kerajaan.

"Saya ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Singapura bahawa perkara ini tidak akan mengalihkan perhatian saya dan rakan-rakan dalam Kabinet daripada tanggungjawab untuk mentadbir Singapura, dan menangani isu-isu nasional yang lebih penting termasuk cabaran ekonomi dan keselamatan yang mendesak yang dihadapi," kata beliau.

"Kita berazam untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan ke atas Singapura. Kita akan terus menerajui negara dan memberi khidmat yang terbaik mengikut kemampuan kita," katanya.

-- BERNAMA