Jika anda berhasrat mahu merasai pengalaman menaiki kelas perniagaan pesawat baru Boeing 787-9 Dreamliner, penerbangan Thai Airways, anda terlebih dahulu perlu ‘lulus’ satu ujian.

Pratthana Pattanasirim, Pengarah Keselamatan dan Penerbangan Standard Thai berkata, penumpang yang mempunyai ukuran pinggang melebihi 56 inci tidak dibenarkan menaiki kelas perniagaan pesawat Boeing 787-9 terbabit.

Ini kerana, kerusi kelas perniagaan tersebut telah dipasang dengan tali pinggang keselamatan dan sistem beg udara baru oleh pengeluar mengikut standard piawaian keselamatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS.

Difahamkan tali pinggang keselamatan itu tidak dapat menampung penumpang yang mempunyai ukuran pinggang lebih daripada 56 inci.

Thai Airways yang menerima dua pesawat Dreamliner pada September 2017 dan 6 Mac lalu mengumumkan bahawa penumpang dengan ukuran pinggang lebih dari 56 inci dan mereka yang membawa bayi yang diriba tidak dibenarkan menaiki kelas perniagaan.

Terdahulu, suratkhabar Thailand mengatakan syarikat penerbangan itu mengharamkan “orang gemuk daripada menaiki Dreamliner”. - The Nation/Asia News Network