LEBIH 40 Tempat Pemungutan Suara (TPS) di Sulawesi Selatan dijangka akan mengundi semula sebelum 27 April 2019 atau 10 hari selepas Pemilihan Umum (Pemilu).

Menurut laporan beberapa media Indonesia termasuk Kompas TV, Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) Sulawesi Selatan menyatakan ada pelanggaran peraturan semasa Pemilu diadakan.

Ketua Bawaslu Sulawesi Selatan, Laode Arumahi memberitahu, antara peraturan yang dilanggar dalam undian adalah membenarkan pengundian biarpun nama individu tiada dalam senarai pengundi.

Tambahnya, ada juga pengundi yang mengundi walaupun tidak mempunyai kad pengenalan.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengesahkan proses undian semula ini.

Daerah-daerah yang terlibat akan mengadakan pengundian semula adalah Kabupaten Bone, Pangkep, Takalar, Jeneponto, Gowa, Luwu Timur, Barru, Maros, Tora Utara, Kota Parepare, Palopo, dan Makassar.

Kabupaten Jeneponto akan menjadi daerah pertama yang akan melakukan pengundian semula.

KPU sebelum ini juga mengumumkan ia akan menjadualkan pengundian semula di Kuala Lumpur setelah mempercayai berlakunya penipuan semasa proses mengundi di mana kertas undi bertanda ditemui di dua lokasi di Bangi dan Kajang, Selangor.

Pada 17 April, Pilpres dan Pilihanraya Legislatif (Pilleg) dijalankan serentak buat pertama kali dan keputusannya akan diumumkan secara berperingkat mulai 25 April hingga 22 Mei 2019.

Berdasarkan pengiraan KPU, setakat 10.20 pagi, 22 April 2019 waktu tempatan, pasangan Joko Widodo-Ma’ruf Amin mendahului dengan 54.87 peratus dan pasangan Prabowo Subianto-Sandiaga Uno mengumpul sebanyak 45.13 peratus.

17 April lalu, lebih 800,000 pusat pengundian dibuka di Indonesia untuk Pemilu dan Pilpres.