PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengingatkan penduduk di Minnesota bahawa jika undi diberikan kepada lawannya, Joe Biden, ia bakal membawa kemusnahan kepada penduduk di situ.

Dalam ucapannya, Trump antara lain membangkitkan bahawa Biden, dari Parti Demokrat, akan menghentikan larangan perjalanan yang dilaksanakannya terhadap pelarian di bandar North Star.

"Biden akan membanjiri sekolah anak-anak anda, memenuhi ruang kelas mereka dan membanjiri hospital anda dengan pelarian.

"Negeri anda akan digulingkan dan hancur sekiranya Biden dan penyokongnya berhaluan kiri yang radikal menang. Itulah yang akan berlaku," kata Trump kepada penyokong di Bemidji.

Sejak kalah di Minnesota pada 2016, Trump berharap kemenangan tahun ini dapat mengimbangi peratusan undi terhadapnya di negeri lain.

Trump sebelum ini menekankan mengenai 'undang-undang dan perintah' kepada rakyat di negara itu terutamanya penduduk di pinggir bandar dan luar bandar yang khuatir berlakunya protes besar besaran susulan kematian George Floyd.

Isu tersebut lebih signifikan di Minnesota, lokasi di mana Floyd dibunuh oleh pegawai polis pada Mei lalu, sekali gus mencetuskan sentimen perkauman di AS.

Dalam satu siri tinjauan sebelum ini mendapati, Biden telah berjaya memimpin di Minnesota.

Malah, pada pertengahan 2018, jumlah undian terhadap Parti Demokratik meningkat di kawasan pinggir bandar dan bandar kecil.