Sekumpulan pegawai polis dan tentera Thailand diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Kebangsaan menggeledah rumah milik bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, yang disahkan oleh kerajaan hari ini telah melarikan diri ke Dubai.

Jen Srivara Rangsibrahmanakul dan kira-kira 20 pegawai tiba di rumah itu yang terletak di Lat Phrao, di pinggir bandar pada tengah hari untuk mengumpul bukti termasuk DNA (Deoxyribonucleic acid) berkaitan siasatan mengenai bagaimana beliau melarikan diri.

"Penggeledahan (di rumah) ialah susulan penemuan DNA wanita dalam sebuah kenderaan Toyota Camry. Jika DNA dalam rumah itu dan DNA dalam kereta adalah sepadan, pihak-pihak yang bersubahat membantu Yingluck melarikan diri akan menghadapi pertuduhan jenayah mengikut Seksyen 157 Kanun Keseksaan."

"Kita memerlukan bukti untuk menguatkuasakan Kanun Keseksaan," kata beliau kepada pengamal media yang berkumpul di depan rumah itu di sini hari ini.

Penggeledahan rumah Yingluck dijalankan di bawah waran yang dikeluarkan oleh mahkamah, kata Srivara sambil menambah bahaqwa pihak berkuasa juga akan melakukan penggeledahan yang sama di sebuah rumah lain tetapi tidak memberi apa-apa butiran.

Polis merampas kenderaan Toyota Camry itu beberapa hari lalu kerana mengesyaki ia digunakan oleh bekas Perdana Menteri itu ketika melarikan diri. Tiga pegawai polis termasuk seorang berpangkat Kolonel telah ditahan untuk membantu siasatan.

Semalam, Mahkamah Agung Thailand mendapati Yingluck bersalah atas kecuaian dalam pelaksanaan skim subsidi beras dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun tanpa kehadiran Yingluck.

Adik kepada bekas Perdana Menteri Thailand yang kini tinggal dalam buangan Thaksin Shinawatra tidak pernah dilihat di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang kenyataan sejak gagal hadir di mahkamah lewat bulan lepas. -- BERNAMA