Seorang peserta protes kematian George Floyd di Seattle maut, manakala seorang lagi parah akibat dilanggar sebuah kereta yang secara tiba-tiba meluru ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang sedang melintas jalan raya.

Video yang didedahkan menunjukkan kereta berkenaan dipandu dengan laju ke arah kumpulan terbabit menyebabkan dua wanita berkenaan tercampak selepas dirempuh.

Pasukan perubatan berusaha menyelamatkan kedua-dua mangsa yang cedera parah sebelum seorang daripadanya disahkan meninggal dunia.

Pihak berkuasa kemudian menahan pemandu kereta berkenaan yang merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun.

Siasatan awal mendapati pengambilan dadah dan alkohol bukan punca kejadian.

Seattle ketika ini dibanjiri kumpulan protes yang melakukan bantahan susulan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd, 25 Mei lalu semasa ditahan polis di Minneapolis .