Korea Utara mengancam akan memberi tindak balas ke atas Amerika Syarikat (AS) sekiranya negara itu meneruskan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan.

Pyongyang turut memberi amaran AS akan menanggung segala kemungkinan yang bakal datang sekiranya masih berdegil untuk meneruskan latihan tersebut pada April nanti.

"Jika AS masih mahu meneruskan latihan ketenteraan terbabit dan pada masa sama masih mengekalkan sekatan ke atas Korea Utara, Korea Utara akan membalas tindakan itu menggunakan cara tersendiri.

"Dan AS harus bertanggungjawab ke atas sebarang kesan dan kemungkinan jika tindak balas diambil kelak," demikian kenyataan rasmi yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen Korea Utara KCNA pada Sabtu.

Pyongyang mendakwa latihan ketenteraan terbabit akan mengganggu proses damai yang sedang dicorak di semenanjung Korea itu.

Dalam kenyataan jurucakap kementerian luar Korea Utara, Pyongyang turut menegaskan tidak akan merayu untuk duduk di meja rundingan bersama AS.

Korea Utara mengulangi bahawa ia bersedia untuk berbincang dengan Amerika Syarikat tetapi tidak mahu sebarang rundingan yang terkandung pelbagai prasyarat.

"Kami tidak akan merayu supaya dialog diadakan atau lari dari opsyen ketenteraan yang dituntut AS.

"Sama ada keamanan yang dikehendaki oleh negara kita dan seluruh dunia dicapai di semenanjung Korea, atau keadaan yang lebih buruk berlaku, akibat dari konfrontasi ini, ia bergantung sepenuhnya kepada sikap AS," katanya.

Pada 23 Februari lalu, AS bertegas mengenakan sekatan terbesar untuk menekan Korea Utara agar menghentikan program nuklearnya.

Presiden Donald Trump turut memberi amaran tentang "fasa kedua" yang disifatkannya sebagai langkah kiri bagi dunia jika langkah-langkah terbabit tidak berfungsi.

Ini kerana, menurut Trump, sebarang rundingan perlu menjurus kepada pemberhentian pembangunan program nuklear Pyongyang.