Pihak berkuasa Indonesia akhirnya berjaya menjumpai perakam suara kokpit (CVR) pesawat malang Lion Air JT610 yang terhempas dua bulan lalu.

Menurut Pegawai Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia Haryo Satmiko, kedudukan sebenar perakam suara milik pesawat Boeing 737 MAX itu bagaimanapun belum ditentukan.

Penemuan ini merupakan titik penting dalam merungkai misteri tragedi itu kerana unit CVR ini dapat memperdengarkan perbualan juruterbang di dalam kokpit ketika insiden berlaku.

Kotak hitam pertama yang mengandungi data sistem pesawat (FDR) dijumpai pada 1 November 2018.

Pesawat yang sepatutnya mengambil masa satu jam perjalanan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, terhempas 13 minit selepas berlepas pada 29 Oktober 2018, mengorbankan kesemua 189 penumpang dan anak kapal.

Ia menjadikan tragedi penerbangan paling buruk Lion Air dalam tempoh 18 tahun.

Pihak berkuasa Indonesia melakukan usaha mencari dan menyelamat yang menemui sisa pesawat di kawasan seluas 150 batu nautika.