Sebuah juri persekutuan pada Selasa telah mendakwa Sayfullo Saipov atas tuduhan keganasan dan bunuh, susulan insiden rempuhan trak di Lower Manhattan bulan lalu yang mengorbankan lapan nyawa, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Saipov ditahan sejurus selepas serangan pada 31 Oktober lalu, di mana suspek tersebut memandu trak dan merempuh laluan basikal di New York City.

Keputusan juri memutuskan, Saipov kini berhadapan dengan lapan tuduhan membunuh, 12 cubaan membunuh, satu tuduhan membekalkan dan cuba membekalkan peralatan kepada militan Daish serta satu tuduhan keganasan dan memusnahkan kenderaan yang menyebabkan kematian.

Saipov, seorang pendatang Uzbekistan, dimasukkan ke hospital selepas ditembak pegawai polis, yang kemudiannya menahan suspek tersebut.

Daish juga mendakwa bertanggungjawab di atas serangan paling buruk di New York itu sejak tragedi 11 September 2001.

Lima daripada mangsa merupakan rakyat Argentina yang berada di New York untuk menyambut ulang tahun ke-30 mereka menamatkan persekolahan.

Selain itu, seorang warga Belgium, dan dua lagi rakyat Amerika masing-masing dari New York dan New Jersey turut terbunuh.