Pihak berkuasa Thailand kini mula memberi lebih tumpuan kepada "dark web" (laman web yang menyembunyikan alamat IP server) mata wang digital disebabkan peningkatan penggunaan mata wang kripto seperti Bitcoin oleh kumpulan penjenayah untuk menyembunyikan jejak transaksi wang haram mereka.

Oleh kerana menyedari bahaya yang ditimbulkan oleh mata wang kripto yang sukar dikesan oleh penguatkuasaan undang-undang, Biro Anti Narkotik (NSB) telah melatih anggota penguatkuasanya mengenai selok-belok mata wang digital dan kesannya terhadap usaha memerangi sindiket dadah di negara itu.

"Jika semua sindiket dadah beralih menggunakan Bitcoin untuk urus niaga dadah, usaha untuk menjejaki transaksi wang haram akan menjadi lebih sukar. Kami tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam buat masa ini mengenai Bitcoin, jadi ia sangat mencabar," kata ketuanya Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, NSB hanya menangani satu kes melibatkan penggunaan mata wang kripto sebelum ini tetapi menjangka lebih banyak sindiket dadah tempatan akan mengikut jejak langkah sindiket dadah antarabangsa yang menjadi rakan mereka dalam menggunakan Bitcoin dan mata wang digital yang lain.

Sommai berkata satu-satunya kes dadah dan Bitcoin di Thailand melibatkan seorang lelaki warga Kanada tetapi beliau tidak megulas lanjut.

Walaupun penggunaan mata wang kripto oleh sindiket dadah di Thailand agak perlahan tetapi lain pula dengan sindiket pusat-pusat panggilan palsu yang juga menggunakan mata wang digital dan menjadikannya sebahagian daripada "modus operandi" mereka .

Menurut Polis Diraja Thailand, sindiket penipuan pusat panggilan palsu itu telah melabur sekurang-kurangnya 90 peratus daripada wang yang diperdayakan daripada mangsa ke dalam Bitcoin.

"Sejak 8 Dis tahun lepas sehingga sekarang, kami mendapati bahawa sekurang-kurangnya 90 peratus (daripada wang mangsa hasil aktiviti penipuan) masuk ke dalam Bitcoin atau 20 juta Baht (RM2.6 juta) buat masa ini," kata Jen Thanisak Teerasawat baru-baru ini.

Beliau berkata pelaburan dalam Bitcoin adalah sebahagian daripada usaha oleh sindiket pusat panggilan tersebut untuk memindahkan wang mangsa dan mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Thanisak yang mengetuai pasukan petugas Thauiland mengenai penipuan ekektronik sebelumnya mempengerusikan mesyuarat antara Polis, Kementerian Perdagangan, Pejabat Anti Pengubahan Wang Haram (AMLO) dan lima syarikat perniagaan Bitcoin.

Syarikat-syarikat perdagangan Bitcoin memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dalam usaha menjejaki transaksi wang haram yang ditinggalkan oleh anggota sindiket pusat panggilan palsu itu dan mendapatkan semula wang mangsa yang telah dilaburkan dalam Bitcoin, kata beliau.

Sementara itu, bank pusat negara itu, Bank of Thailand (BoT) minggu lepas meminta institusi-institusi kewangan tidak melibatkan diri dalam transaksi mata wang kripto.

Bank itu berkata mata wang kripto tidak sah diperlakukan dengan nilai di Thailand dan boleh digunakan dalam kegiatan haram sepertri pengubahan wang haram atau membiayai aktiviti keganasan. -- Bernama