Kematian seorang peninju kanak-kanak berusia 13 tahun selepas tewas dalam satu perlawanan Muay Thai, mencetuskan tekanan untuk mengharamkan kanak-kanak daripada menyertai perlawanan seumpama itu yang sering dilihat sebagai jalan keluar daripada belenggu kemiskinan.

Anucha Kochana disahkan meninggal dunia akibat pendarahan otak, dua hari selepas menyertai sebuah perlawanan amal yang diadakan di wilayah Samut Prakan, Ahad lalu.

Mangsa dikatakan telah mengambil bahagian dalam lebih 170 perlawanan sejak berusia lapan tahun demi meringankan beban kewangan keluarganya.

Parlimen Thailand kini sedang mengkaji undang-undang yang bakal mengharamkan kanak-kanak bawah 12 tahun daripada menyertai perlawanan tinju.

Tinju Thailand atau Muay Thai yang popular di seluruh negara merupakan cara bagi peninju muda dan keluarga mereka mendapatkan wang, namun terdapat kekurangan peraturan bagi mengawal sukan berkenaan.

Terdapat juga pihak yang menghalang cadangan undang-undang bagi melindungi peninju muda dengan alasan mereka adalah sebahagian daripada tradisi tinju negara itu.

Dalam pada itu, rakaman video perlawanan berkenaan menunjukkan Anucha atau nama gelanggangnya, Phetmongkol Por Peenapat dan lawannya berusia 14 tahun, tidak memakai sebarang alat pelindung kepala.
Anucha ditumbuk berulang kali di kepala sebelum tersungkur ke lantai.

Pesaingnya berkata, dia berasa sedih dengan apa yang terjadi dan tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kematian Anucha.

Menurut data Lembaga Sukan Kebangsaan yang dikeluarkan tahun lalu, Thailand mempunyai lebih 10,000 peninju berdaftar di bawah umur 15 tahun.

Susulan kes Anucha, muncul desakan pelbagai pihak untuk menaikkan had umur menyertai perlawanan Muay Thai kepada 18 tahun, namun perubahan tidak berlaku dengan pantas kerana industri melibatkan peninju kanak-kanak mendatangkan keuntungan lumayan.