Pengerusi syarikat gergasi Samsung Electronics, Lee Kun-hee dinamakan polis Korea Selatan sebagai suspek dalam satu kes mengelak cukai bernilai AS$7.5 juta (RM30 juta).

Kun-hee dipercayai menggunakan akaun bank beberapa pekerja untuk tujuan itu.

Perkembangan ini adalah siri skandal terbaru mencemar nama keluarga di sebalik empayar perniagaan terbesar negara itu.

Ia juga berlaku sehari selepas anak Kun-hee, Jay Y. Lee pewaris Samsung Group, dibebaskan selepas mahkamah menangguhkan hukuman penjara dua tahun ke atasnya bersabit kes rasuah.

Polis bagaimanapun tidak dapat mengambil keterangan Kun-hee, kerana keadaan fizikalnya.

Kun-hee berada di Pusat Perubatan Samsung, sejak 2014 selepas serangan jantung.

Sehingga kini Kun-hee tidak dapat berkomunikasi dengan baik, dan tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Tugasnya di Samsung pula digalas Jay Y. Lee.

Menurut polis, mereka menemui akaun bank dengan nilai AS$350 juta (RM1.4 bilion) ketika siasatan salah guna dana syarikat ke atas Kun-hee.

Tuduhan ini bagaimanapun bukan tuduhan jenayah pertama Kun-hee.

Pada 2009, Kun-hee disabit kesalahan elak cukai, namun mendapat pengampunan bekas presiden Lee Myung-bak.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berikrar untuk memberi penelitian ke atas konglomerat keluarga tersebut.