Brandon Truaxe, pengasas jenama produk penjagaan kulit Deciem, ditemui mati di tingkat enam bangunan pangsapurinya di Toronto, Canada pada Isnin.

Pengasas syarikat yang berumur 40 tahun itu disyaki telah terjun dari balkoni unitnya yang terletak di tingkat 32.

Sehari sebelum kematiannya, Truaxe memuat naik beberapa video berkelakuan pelik ke Instagram yang menyatakan bahawa beliau di bawah pengaruh alkohol.




Truaxe dilapor dilucut jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut pada Oktober lepas.

Hal ini berlaku selepas beliau mengambil alih akaun Instagram Deciem dan sering memuat naik video 'pelik'.

Dalam salah satu video berkenaan, beliau memutuskan hubungan perniagaan bersama pihak pembekal yang menyebabkan kekecohan sehingga semua kedai Deciem ditutup sementara.

Syarikat Deciem yang kini bawah pengurusan CEO baharu, Nicola Kilner, telah memuat naik gambar Truaxe sebagai penghormatan terakhir kepadanya bersama kapsyen: "Terima kasih atas setiap detik bergelak ketawa, setiap ilmu pengajaran dan setiap detik 'genius' beliau. Walaupun kami tidak dapat membayangkan kehidupan tanpa beliau, namun kami berjanji akan menjaga satu sama lain dan terus berusaha mencapai visi beliau."



Pada Isnin, semua kedai, pejabat, kilang dan gudang Deciem ditutup bagi memberi penghormatan terakhir kepada Truaxe.

Deciem popular dengan produk The Ordinary di seluruh dunia kerana harganya yang sangat murah bagi produk penjagaan kulit yang berkualiti tinggi.