Penduduk di sebuah perkampungan di Shadnagar, Telangana, India digemparkan dengan kehadiran 'tetamu tidak diundang'.

Namun, yang ditakuti itu tiada kaitan dengan kehadiran manusia, sebaliknya merupakan seekor harimau bintang.

Haiwan liar itu dipercayai berasal dari Hutan Kammadanam dan telah sesat hingga memasuki kawasan petempatan manusia.

Harimau bintang itu ditemui ketika ia sedang berehat di salah sebuah rumah penduduk, dan sejurus menyedari hal itu, kebanyakan penduduk panik dan kelam-kabut berlari menyelamatkan diri.

Operasi menangkap haiwan pemangsa itu digerakkan dan penduduk diberi amaran agar tidak mengabaikan keselamatan, terutamanya pada sesetengah penduduk yang sibuk mahu merakam video atau gambar harimau bintang berkenaan.

Haiwan itu akhirnya berjaya ditangkap dan dipindahkan ke sebuah zoo.

Kebelakangan ini, aktiviti manusia yang kerap menarah habitat hutan di India meningkatkan insiden haiwan liar yang menceroboh ke kawasan perumahan penduduk.