Serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis terhadap Syria pada hujung minggu lalu meningkatkan ketegangan di antara Syria dan negara-negara teluk lain yang menyokong serangan tersebut.

Arab Saudi menerusi Putera Mahkotanya sebelum ini juga menyatakan kesediaannya untuk mengambil bahagian dalam serangan tersebut.

Sokongan dinyatakan ketika lawatan Putera Mohammed Salman ke Perancis baru-baru ini.

Menerusi satu temu bual yang dijalankan oleh Associated Press terhadap penduduk Damsyik, mereka meluahkan kemarahan dan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin tertinggi Arab tersebut yang juga menganjurkan sidang kemuncak di Riyadh pada hari sama.

Syria tidak mengambil bahagian dalam mana-mana persidangan sidang kemuncak Arab sejak keanggotaannya digantung pada November 2011.

Sejak krisis di Syria bermula pada Mac 2011, negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Qatar menjadi penyokong kuat pemberontak dalam percubaan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dari tampuk kepimpinan negara itu.