Pemberian suara eksit (exit poll) selepas pengundian ditutup di Poland pada pukul 9 malam Ahad menunjukkan Parti Undang-Undang dan Keadilan (PiS) yang memerintah memenangi 43.6 peratus undi dalam pilihan raya parlimen, lapor agensi berita China Xinhua.

Parti Gabungan Sivik di tempat kedua dengan 27.4 peratus diikuti perikatan berhaluan kiri Lewica dengan 11.9 peratus, Gabungan Rakyat Poland 9.6 peratus dan Konfederasi 6.4 peratus.

Pakar memberi amaran bahawa pemberian suara eksit pernah silap sebelum ini di Poland, jadi keputusan rasmi mungkin berbeza.

Berdasarkan pilihan yang ditunjukkan dalam pemberian suara eksit yang dikeluarkan pada Ahad malam dan dijalankan oleh syarikat penyelidikan Ipsos untuk saluran TV swasta, TVN24, PiS dijangka memperoleh 239 mandat di Sejm atau dewan rakyat di parlimen, cukup untuk memerintah secara sendirian.

Pembangkang utama, Gabungan Sivik pula dijangka mendapat 130 mandat.

"Meskipun berdepan saingan yang kuat, kami berjaya meraih kemenangan dan semuanya menunjukkan bahawa keadaan ini akan kekal.

"Dan jika ia kekal, akan terdapat perubahan yang baik dan berpanjangan," kata pemimpin PiS, Jaroslaw Kaczynski pada Ahad malam di ibu pejabat partinya selepas mendengar keputusan pemberian suara eksit.

Bagi Senat, 100 senator akan dipilih dari 100 kawasan pilihan raya.

Keputusan akan diumumkan selepas penjumlahan undi.

Orang ramai yang keluar mengundi dianggarkan sebanyak 61.1 peratus, lebih tinggi berbanding empat tahun lepas.

Keputusan rasmi pilihan raya parlimen mungkin akan dikeluarkan pada Selasa.

-- BERNAMA