Syarikat penerbangan Indonesia, Garuda membatalkan pesanan pesawat Boeing 737 Max 8 yang mencecah berbilion dolar Amerika.

Menurut laporan CNN, jurucakap penerbangan Indonesia itu, Ikhsan Rosan memberitahu pelanggan mereka hilang keyakinan untuk menaiki pesawat Max 8.

Garuda memesan 50 pesawat Max 8 pada 2014 bernilai AS$4.9 bilion (kira-kira RM20 bilion) namun telah menghantar surat pembatalan pesanan tersebut.

Selepas tragedi Lion Air dan Ethiopian Airlines melibatkan pesawat Boeing 737 Max 8, kebanyakan negara menggantung penerbangan pesawat model itu sehingga siasatan penuh mengenai kedua-dua nahas itu selesai.

Varian 737 Max adalah pesawat penumpang yang paling laris keluaran Boeing.

Wakil Boeing akan ke Jakarta untuk membincangkan pembatalan pesanan itu pada 28 Mac dan tidak akan memberi sebarang komen mengenai keputusan yang dibuat pelanggan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memberitahu data dan bukti fizikal menunjukkan persamaan di antara nahas Ethiopian Airlines dan Lion Air.

FAA turut memberitahu Boeing sudah membangunkan perisian dan program latihan juruterbang untuk mengendali isu yang dihadapi dengan pesawat 737 MAX yang sudah dikenal pasti sejak nahas Lion Air pada Oktober.

Seramai 157 terkorban dalam nahas Ethiopian Airlines pada 10 Mac apabila ia terhempas beberapa minit selepas berlepas di Addis Ababa.