Jenama fesyen mewah Balenciaga mengeluarkan dua kenyataan maaf selepas insiden seorang pelanggan China dipukul dan dianiaya di sebuah butiknya di Paris menjadi viral.

Balenciaga dan pemilik pusat beli belah Printemps memohon maaf kepada rakyat China yang mana inisiden itu telah menarik lebih daripada 2 juta komen di media sosial di sana.

Pemohonan maaf yang pertama telah dikeluarkan pada Khamis, dan sekali lagi Balenciaga mengeluarkan kenyataan maaf apabila didesak warga China tentang kesungguhan jenama itu.


Video yang tersebar menunjukkan seorang lelaki China yang merupakan pelanggan dipukul dan diserang oleh sekumpulan pelanggan lain.

Manakala kerani jualan butik itu pula dilihat mengherdik kewarganegaraan lelaki tersebut serta mahu semua pelanggan warga China meninggalkan butik itu serta merta.



Lapor the Global Times, insiden itu bermula selepas ibu pelanggan tersebut memarahi mereka yang memotong barisan ketika menunggu memasuki butik berkenaan.

Dalam kenyataan kedua pada Sabtu, Balenciaga memaklumkan bahawa kakitangan berkenaan telah digantung tugas oleh pengurusan sementara siasatan dibuat.

Video itu juga tersebar dengan menggunakan tajuk 'Boycott Balenciaga [for] discriminating against Chinese’, malah hashtag menggunakan tajuk yang sama telah tersebar lebih daripada 29 juta perkongsian di Weibo dan Twitter.

Balenciaga yang terkenal dengan keluaran kasut dan beg tangan mewah adalah jenama milik Gucci dan Yves Saint Laurent.