Seorang pelancong Perancis yang sedang menikmati percutian di Pattaya, Thailand terkejut apabila melihat banyak kedai dan gerai yang menjual cenderamata dengan lambang swastika atau bendera Nazi, serta imej Adolf Hitler.

Alexandre Jandaeng, 34, mengambil gambar semua barangan itu dengan telefon pintar dan seterusnya membuat aduan di sebuah balai polis pelancong mengenainya, lapor Bangkok Post.

Semua barangan berkenaan, sama ada dalam bentuk rantai kunci, bendera, pelekat mahupun pakaian, dijual secara terbuka kepada orang ramai yang membanjiri bandar pesisiran pantai yang popular itu.

Menurutnya, lambang itu diharamkan di negaranya, dan jika ia dijual secara terbuka di negaranya, orang itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

"Tujuan saya membuat aduan kerana saya terkejut melihat pelbagai barangan dengan lambang ini yang dijual secara terbuka di sini.

"Saya mahu memberitahu polis supaya ambil tindakan terhadap perkara ini.

"Penjualannya perlu dihentikan. Kita tidak perlu diingatkan pada sejarah lampau yang melibatkan hal-hal kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai," ujarnya dalam satu rakaman video sebuah portal tempatan.

Jandaeng bagaimanapun, diberitahu oleh anggota polis itu bahawa undang-undang Thailand tidak melarang paparan, pemilikan, pemakaian dan penjualan lambang swastika dan sebarang produk berkaitan Nazi.

"Polis itu memberitahu, kalau aduan itu tentang barangan palsu barulah boleh diambil tindakan.

"Saya tidak suka akan hal ini. Tapi apapun, saya sudah membuat aduan, dan polis itu melayan aduan saya dengan baik.

"Tapi, saya tak pasti kalau dia benar-benar akan ambil tindakan atas aduan saya itu," ujarnya.

Beberapa negara Eropah seperti Perancis dan Jerman mengharamkan swastika. Lambang itu pernah digunakan Hitler ketika dia memimpin parti Nazi Jerman dan membawa negara itu ke kancah Perang Dunia Kedua, serta melibatkan tindakan pembunuhan berjuta-juta nyawa.