Ketua polis daerah Kannayao dan dua penyiasat kanan di Nakhon Si Thammarat telah dikenakan tindakan kerana dilaporkan terlalu mesra dengan penyanyi rock tempatan, Sek Loso, yang berdepan dakwaan memiliki senjata api tanpa lesen dan salah guna dadah.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, mereka telah diarahkan untuk berpindah tempat kerja gara-gara mengambil gambar dengan selebriti tersebut dalam bilik soal siasat selepas Sek didakwa mengingkari arahan polis di kediamannya do Bang Khen, Bangkok.

Ketua polis Kannayao itu, Sing Singhadej, dikritik hebat selepas sekeping gambar tular menunjukkan dirinya bersama penyanyi rock tersebut serta dua penyiasat lain, sambil memberi isyarat ‘bagus’ dengan jari.

Sebuah panel siasatan telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.

Sek atau nama sebenarnya Seksan Sookpimay, 43, telah dibawa ke balai polis Kannayao pada Ahad lalu dan didakwa kerana melawan ketika dirinya hendak ditahan dan rumahnya hendak digeledah.

Sek telah melepaskan tembakan ke udara dan ke tanah di hadapan patung tugu Raja Taksin di pekarangan sebuah tokong popular di daerah Phrommakhiri, Nakhon Si Thammarat pada 29 Disember lalu.

Polis juga mendakwanya dengan pemilikan senjata api tanpa lesen selain kesalahan melepaskan tembakan di tempat umum.

Selain itu, Sek juga berdepan dakwaan salah guna dadah apabila ujian air kencingnya positif.

Ketua Polis Thailand Chakthip Chaijinda pada 22 Jun lalu mengeluarkan arahan yang melarang pegawai dan anggotanya dripada bergambar dengan suspek, atau berkelakuan seolah-olah mereka ada kaitan rapat dengan suspek.

Menurut Chakthip, tindakan itu hanya akan mengikis kepercayaan umum ke atas pasukan polis.