Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson berjaya mengejutkan pengkritik politik selepas parti pimpinannya, Parti Konservatif memenangi majoriti kerusi di Parlimen negara itu pada Jumaat sekali gus menjadikan ia sebagai satu kemenangan paling dramatik di negara itu dalam beberapa dekad.

Keputusan itu juga sekali gus selari dengan rancangan Boris yang berkempen dengan manifesto tunggalnya iaitu untuk "merealisasikan Brexit (Britain keluar dari Kesatuan Eropah)."

Dalam kiraan terakhir, Parti Konservatif telah memperoleh 368 daripada 650 kerusi di Dewan Parlimen, jauh di hadapan Parti Buruh yang hanya mendapat 203 kerusi.

BACA: UK Memilih: Parti Konservatif hampir pasti menang

Parti Liberal Demokrat pula hanya berjaya mendapatkan 11 kerusi, manakala Parti Nasional Scotland mencatatkan majoriti besar di Scotland dengan 48 kerusi.

Parti Buruh merekodkan kekalahan teruk di beberapa kawasan yang dahulu bawah pegangannya, termasuk di Wrexham yang merupakan kekalahan pertama mereka di kawasan itu sejak 84 tahun lalu.

Kemenangan Boris ini menyebabkan beliau selesa di House of Commons dan meneruskan rancangannya merealisasikan Brexit yang dijangka berlaku pada akhir Januari.

BACA: UK Memilih: Corbyn akur kekalahan, umum bakal letak jawatan

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat di negara ini kerana memilih untuk keluar mengundi pada pilihan raya di bulan Disember ini, yang mana pada awalnya kami tidak merancang namun bagaimanapun saya fikir ia telah pun menjadi pilihan raya yang bersejarah," kata Boris.

Boris menambah bahawa keputusan itu memberi partinya mandat baru untuk Brexit.