Isu Brexit kembali buat penampilan di Parlimen Britain.

Seperti dijangka, Ahli Parlimen menyokong usul untuk meminta Perdana Menteri Theresa May membuka semula rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai pintu sempadan Ireland pasca Brexit.

Usul itu dikemukakan Sir Graham Brady dan diluluskan dengan 317 menyokong, sambil 301 menentang.

Mereka mahu perjanjian mengenai pintu sempadan antara Ireland dan Ireland Utara dipinda, supaya ia bebas daripada pemeriksaan.

Ia perlu digantikan dengan alternatif lain.

Perjanjian ketika ini bakal menyebabkan Britain terikat dengan satu perjanjian kastam dengan EU selepas tempoh peralihan berakhir pada 2020.

Sementara itu, pemimpin pembangkang utama, Jeremy Corbyn berkata, beliau kini sedia berkompromi dengan May.

Corbyn menegaskan akan bertemu dengan May untuk membincangkan alternatif lain bagi Brexit.

Pendirian yang sedikit berlembut ini, kata Corbyn, adalah kerana Parlimen telah mengundi untuk menolak cadangan supaya Britain meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian.

Corbyn merupakan yang paling lantang mengkritik perjanjian Brexit yang dirancang May sebelum ini.

Beliau juga enggan terlibat dalam rundingan antara parti.

Sementara itu, May memaklumkan, kerajaan akan menggandakan usaha mendapatkan perjanjian yang boleh diterima semua pihak.

Kesediaan ini dinyatakan kedua-dua pemimpin itu selepas selesai sesi pengundian di Parlimen.

Sebelum sesi pengundian berlangsung, May meminta Ahli Parlimen memberi beliau mandat untuk kembali ke meja rundingan di Brussels.

Pindaan itu, kata May, akan melibatkan isu sempadan Ireland yang jadi pertikaian sebahagian besar Ahli Parlimen.

May yang bercadang mengadakan mesyuarat dengan blok Eropah minggu depan menegaskan, perjanjiannya masih ada peluang untuk mendapat sokongan Parlimen.

Namun, perjanjian itu perlu dipinda.

Isu sempadan jadi isu kritikal dalam rundingan Brexit kerana ia jadi satu-satunya pintu antara UK dan EU.

Pergerakan bebas penduduk dan barangan berpotensi menjejaskan ekonomi tempatan dan proses damai Ireland Utara.