Buat kesekian kalinya, Ahli Parlimen Britain gagal mencapai konsensus mengenai cadangan bagi fasa seterusnya Brexit.

Beberapa jam yang lalu, Parlimen mengundi empat usul yang termasuk isu sempadan serta berhubung usaha mengekalkan United Kingdom (UK) dalam satu pasaran tunggal.

Namun, tiada satu pun daripada usul itu menerima undi majoriti.

Undian itu juga tidak terikat secara undang-undang, bermakna kerajaan tidak perlu mengadaptasi cadangan berkenaan.

Sebelum ini, pelan Perdana Menteri Theresa May, yang dirunding semula dengan Kesatuan Eropah (EU), ditolak tiga kali.

Perkembangan ini meninggalkan masa depan Brexit terus dalam tanda tanya.

"Dewan ini telah terus-terusan menolak usul meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian, sepertimana ia telah menolak cadangan untuk tidak meninggalkan EU.

"Oleh itu, satu-satunya pilihan adalah untuk mencari jalan bagaimana UK boleh meninggalkan blok itu dengan satu perjanjian," kata setiausaha Brexit, Stephen Barclay pada Isnin.

"Kerajaan tetap percaya, cara terbaik ialah untuk melakukannya secepat mungkin.

"Jika Dewan ini setuju dengan satu perjanjian minggu ini, mungkin kita masih boleh mengelak dari mengadakan pilihan raya Parlimen Eropah," tambahnya.

Nick Boles mengumumkan peletakan jawatan di House of Commons, London, Britain, 1 April, 2019. REUTERS

Dalam perkembangan sama, Ketua Perundangan Parti Konservatif, Nick Boles mengumumkan peletakan jawatan selepas usul berkaitan Brexit yang dibawa beliau tidak dapat mendapat sokongan.

"Saya telah gagal terutamanya kerana parti saya enggan berkompromi," kata Boles, sambil menambah, beliau meninggalkan Konservatif dan kini menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Keputusan itu diumum sejurus selepas keputusan pengundian.

Britain dijadual meninggalkan EU pada 12 April tanpa sebarang perjanjian, jika perjanjian Brexit gagal mendapat sokongan di Parlimen.