Bekas pemimpin Korea Selatan Park Geun Hye menghadapi kritikan pada Isnin kerana mencabar dakwaan rasuah ke atasnya selain bersumpah supaya kebenaran mengenai tuduhan berkenaan akan terungkai.

Parti pembangkang turut menggesa pendakwaraya segera menyiasat Geun Hye.

Mahkamah Perlembagaan pada Jumaat mengekalkan pendakwaan Parlimen ke atas pemimpin itu berkait dengan skandal rasuah, sekali gus menyingkir Geun Hye daripada jawatannya.

Bagaimanapun, Geun Hye yang diekori media sejak meninggalkan istana presiden untuk kembali ke kediaman peribadinya dan menjadi rakyat biasa, tetap membantah tuduhan rasuah ke atasnya.

“Pada masa beliau dia meninggalkan istana pun, tiada kata-kata sesalan dengan apa yang telah dia lakukan tetapi lebih menekankan tentang 'kebenaran' yang hanya satu pembohongan.

"Membantah keputusan Mahkamah Perlembagaan itu adalah satu pengkhianatan kepada rakyat dan pengkhianatan kepada perlembagaan,” kata pemimpin pembangkang dari Parti Demokratik, Choo Mi Aw pada Isnin.

Geun Hye belum mengulas secara terbuka mengenai keputusan mahkamah, tetapi seorang jurucakap membacakan kenyataan beliau selepas pulang ke rumahnya di daerah Gangnam, di mana beliau melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat menyempurnakan penggal kepimpinannya.

"Walaupun ia akan mengambil masa, saya yakin kebenaran akan diketahui juga,” kata kenyataan itu.

Geun Hye dijangka berdepan siasatan pihak pendakwaan yang menganggapnya suspek kes jenayah kerana dipercayai bersubahat memeras ugut wang dan habuan daripada beberapa syarikat, selain membenarkan rakannya mencampuri urusan pentadbiran negara.

Sebuah pilihan raya presiden bakal dilangsungkan dalam masa 60 hari, mengikut perlembagaan negara tersebut.