PEMIMPIN agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei mempertahankan pasukan tentera negara itu selepas insiden tembak jatuh pesawat Ukraine International Airlines.

Khamenei menegaskan, pasukan pengawal Iran yang bertanggungjawab ke atas insiden itu berjaya mengekalkan keselamatan republik tersebut.

Kenyataan ini menyusul protes dan kritikan yang dilemparkan terhadap cara Tehran mengendalikan insiden berkenaan.

Ayatollah juga menyeru rakyat Iran kembali bersatu berdepan musuh Iran.

Beliau mendakwa Amerika Syarikat dan sekutunya menggunakan insiden tembak jatuh pesawat berkenaan untuk mengalih tumpuan daripada pembunuhan Jeneral Qasem Soleimani.

Pesawat Ukraine berlepas dari Tehran dalam perjalanan ke Kyiv terhempas sebaik berlepas mengorbankan 176 penumpang dan anak kapalnya.