Jenazah empat sekeluarga yang terkorban dalam nahas pesawat Pakistan International Airlines (PIA) pada 22 Mei lalu disembahyangkan di sebuah masjid di Karachi hari ini (Jumaat, 29 Mei).

Zain dan Sarah Polani serta dua anak mereka merupakan penumpang pesawat Airbus A230 ketika ia terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah.

Keluarga warganegara Britain itu dilaporkan pulang ke Pakistan bagi menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, jenazah pasangan suami isteri dan dua anak mereka itu masih belum diserahkan kepada waris ekoran proses pengenalan identiti yang tidak lengkap.

Seorang bekas anggota Majlis Nasional Pakistan, Muhammad Hussain Mehanti antara yang menghadiri acara solat jenazah tersebut.

Hussain menuntut pemerintah agar pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu dikenakan hukuman setimpal bagi mengelakkan kejadian sama berlaku pada masa akan datang.

"Kami menuntut kepada pemerintah agar mereka yang bertanggung jawab atas kejadian itu menerima hukuman setimpal, termasuk pegawai penerbangan awam dan Pakistan International Airlines (PIA). Pemerintah juga harus memberi jaminan kepada negara bahawa insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku lagi di masa depan," tegasnya.