SEBUAH kereta Mustang yang dilaporkan baru sahaja dibeli, musnah sepenuhnya selepas pemandunya yang berusia 17 tahun merempuh bahagian belakang sebuah lori beroda 10 di Bangkok, Thailand pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, remaja itu memandu Mustang 2.3 EcoBoost berwarna merah apabila dia dilaporkan tidak dapat mengawal kereta dan merempuh lori berkenaan, mengakibatkan enam orang cedera.

Remaja itu bernasib baik apabila sempat keluar sebelum api marak dan hanya mengalami patah tangan kanan. Pihak bomba mengambil masa 30 minit untuk memadamkan api, lapor portal berita tempatan.

Pemandu lori itu bersama isteri dan tiga orang anak mereka, dilaporkan mengalami cedera ringan.

Siasatan awal mendapati remaja itu kini sedang mengikuti pengajian di England dan pulang ke Thailand untuk cuti musim panas.

Pihak berkuasa sedang meneruskan siasatan dan mengambil keterangan saksi, namun belum memutuskan sebarang pendakwaan kerana remaja itu masih dirawat di hospital.

Di Thailand, usia minimum untuk memandu adalah 18 tahun.