Human Right Watch (HRW) menuduh kerajaan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi sebagai punca kepada kematian tragis bekas Presiden Mohammed Morsi.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, ia telah mendokumentasikan keadaan Morsi sejak tokoh tertinggi Ikhwanul Muslimin itu ditahan beberapa tahun lalu.

Tambah HRW, Morsi yang mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis serta penyakit hati dan buah pinggang juga tidak menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

"Kami menyedari keadaan Morsi bertambah buruk. Setiap kali muncul di mahkamah, beliau memohon penjagaan dan rawatan kesihatan daripada hakim.

"Beliau juga dinafikan hak daripada mendapatkan makanan dan perubatan yang mencukupi," kata Pengarah Eksekutif HRW bagi rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson.

Kata Whitson lagi, kerajaan Mesir menyedari kesihatan Morsi semakin merosot dan beliau juga mengalami penurunan berat badan serta pernah pengsan beberapa kali di mahkamah.

Tahun lalu, tiga Ahli Parlimen Britain melaporkan bahawa Morsi dikurung bersendirian selama 23 jam sehari dan hanya dibenarkan bersenam selama satu jam.

Menurut mereka, cara Morsi dikurung boleh diklasifikasikan sebagai penyeksaan dan juga boleh menyebabkan kematian.


Menurut laporan media Mesir, Morsi rebah selepas penutup sesi perbicaraan di mahkamah semalam dan meninggal dunia sejurus selepas itu.

Morsi dipilih secara demokratik pada 2012 yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.

Beliau kemudian digulingkan selepas protes besar-besaran dan rampasan kuasa tentera pada Julai 2013.

Morsi, 67, hanya sempat berkhidmat selama setahun sementara organisasi yang dimiliki beliau, Ikhwanul Muslimin telah diharamkan.

Susulan kematian tragis Morsi, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggelar al-Sisi sebagai pemimpin zalim kerana merampas kuasa dan mengganggu proses demokrasi.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetuskan kemarahan sekutunya di Asia Barat apabila menamakan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas. - Agensi