Peserta Miss Universe Amerika Syarikat membuat permohonan maaf pada Jumaat susulan beberapa komen kontroversi yang dibuat di Instagram.

Dalam entri video di Instagram, Sarah Rose Summers, 24, dilihat berbual dengan ratu cantik Colombia, Valeria Morales, dan ratu cantik Australia, Francesca Hung, di sebuah lokasi di Thailand, di mana pertandingan tersebut bakal berlangsung pada Isnin.

"Ratu cantik Kemboja ada di sini dan tidak boleh bercakap walau sepatah pun dalam bahasa Inggeris, dan tidak seorang pun yang memahami bahasanya.

"Bolehkah anda bayangkan? Francesca berkata bahawa ia tentu membuatkan dia rasa terasing dan saya berpendapat situasi itu pasti mengelirukan.

"Ratu cantik Vietnam pula hanya berpura-pura memahami bahasa Inggeris. Dia comel," kata Summers dalam video itu diiringi ketawa kecil.

Dalam permohonan maafnya, Summers mengakui kesilapannya kerana tidak sensitif dengan pemilihan perkataan dan cara dia bergurau.

"Saya sedar ia tidak sensitif dan biadab, dan saya memohon maaf.

"Kehidupan dan kerjaya saya mengajar saya tentang kasih sayang dan persahabatan, serta bagaimana mahu menjadi lebih empati," tulisnya.