MISI penerokaan ke Marikh oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diberi nama "Al Amal" yang membawa maksud 'harapan' akan dilancarkan bulan ini.

Misi yang mula diumumkan pada 2014 itu dijangka tiba di planet tersebut tujuh bulan kemudian yang dijangka tiba sekitar Februari 2021.

Ia bertepatan dengan ulang tahun ke 50 negara itu.

Sekiranya misi itu berjaya, UAE akan menyertai senarai negara elit yang berjaya melancarkan kapal angkasa ke orbit di sekitar "Planet Merah".

Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat, bekas Kesatuan Soviet, Agensi Angkasa Eropah dan India sahaja yang berjaya melancarkan misi seumpamanya.

China dalam perancangan untuk melancarkan misi sama tahun hadapan.

Menurut Ketua Saintis Sarah Amiri, pelancaran misi itu adalah bagi membuktikan kejayaan UAE.

"Kami mahu pergi ke Marikh adalah kerana amat sukar untuk sampai ke Marikh. Ia merupakan cabaran besar buat kumpulan kami.

"Misi ini juga meningkatkan risiko buat kumpulan kami. Tetapi cabaran ini adalah sesuatu pekara asas yang diperlukan buat UAE untuk perancangan dalam masa 50 tahun akan datang sebagai negara yang membangun.

"Kita perlu mempunyai daya yang lebih kuat untuk bekerja pada tahap yang mencabar terutamanya ketika negara kini dalam transformasi ekonomi berteraskan sains dan teknologi," katanya.

Kapal angkasa itu akan dilancarkan pada 15 Julai depan dari Pusat Angkasa Tanegashima di Jepun menggunakan platform industri berat Mitsubishi.

Ia akan membuat perjalanan sejauh 495 juta kilometer (km) untuk mencapai dan mengorbit 'planet merah' itu.

Bagaimanapun, kapal angkasa itu akan dihantar tiga minggu lebih awal bagi mengelakkan misi itu tertangguh berikutan sekatan perjalanan antarabangsa susulan penularan COVID-19.