BARISAN hakim dalam prosiding perbicaraan insiden tembak jatuh pesawat MH17 di Belanda bersetuju membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya pasukan penyiasat memeriksa kemungkinan ada penjelasan lain berhubung kejadian pada 2014 itu.

Mahkamah membenarkan permohonan daripada peguam bela suspek, Oleg Pulatov, untuk satu siasatan bagi mendapatkan keterangan daripada lebih ramai saksi.

Tujuan siasatan adalah untuk memastikan sekiranya terdapat kemungkinan senario lain dalam insiden yang menimpa MH17.

Senario lain itu termasuk teori bahawa pesawat awam itu telah ditembak secara silap atau mungkin digunakan sebagai pelindung untuk pesawat tentera.

Perbicaraan itu ditangguhkan sehingga 31 Ogos ini bagi memberikan masa kepada hakim untuk mendengar keterangan saksi tambahan.

Ia juga bagi memberi masa kepada pembelaan menemui suspek bagi memaklumkan tentang perkembangan terbaharu itu.

Sehingga kini, peguam belanya berkata, mereka tidak dapat menemui anak guamnya secara bersemuka disebabkan perintah sekatan akibat COVID-19.

BACA: Perbicaraan MH17 ditunda akibat COVID-19 disambung semula

BACA: MH17: Peguambela mohon siasatan baharu dijalankan

Berdasarkan kepada pendakwa raya Belanda, pesawat MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh peluru berpandu BUK oleh pasukan pro-Rusia di Ukraine.

Pelancar peluru berpandu itu diperoleh daripada pangkalan tentera Rusia di sempadan kedua-dua negara berjiran itu.

Selepas enam tahun penyelidikan dan siasatan oleh pasukan penyiasat antarabangsa, empat defendan dibicarakan pada Mac atas tuduhan bahawa mereka menembak jatuh pesawat itu yang membunuh kesemua 298 penumpangnya.

BACA: Ringkasan apa yang akan berlaku pada permulaan perbicaraan MH17

BACA: Suspek tembak jatuh MH17 ditahan di timur Ukraine

Selain Pulatov, tiga lagi suspek ialah warga Rusia iaitu Sergey Dubinsky dan Igor Girkin serta rakyat Ukraine yang masih bebas, Leonid Karchenko.

Hanya Pulatov diwakili peguam, manakala lain-lain defendan dibicarakan secara tidak hadir tanpa diwakili mana-mana peguam bela.

Moscow menafikan dakwaan ia terlibat atau bertanggungjawab dalam insiden itu, tetapi ditolak pasukan penyiasat antarabangsa.