Kerajaan Belanda berhasrat mendakwa Rusia di Mahkamah Hak Asasi Eropah.

Ini berikutan peranan dimainkan Kremlin dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Menteri Luar Belanda, Stef Blok memaklumkan langkah itu bagi menuntut keadilan kepada 298 penumpang pesawat yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

“Sejak awal insiden tembak jatuh pesawat ini yang melibatkan 298 korban adalah pencabulan undang-undang antarabangsa.

"Kami akan meneruskan usaha mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan untuk waris mangsa.

“Kami memutuskan bersama Australia untuk memulakan prosedur di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan Rusia bertanggungjawab atas insiden ini.

"Ia termasuk perundangan di bawah undang-undang menerusi mahkamah hak asasi Eropah. Ini kaedah tambahan untuk menuntut kebenaran,” katanya.

Insiden berkenaan berlaku selepas pemberontak pro Rusia menguasai wilayah berkenaan.

Pasukan penyiasat diketuai Belanda sebelum ini mendakwa ada bukti kukuh sistem peluru berpandu BUK yang menembak pesawat malang itu dibawa dari Rusia.

Walau bagaimanapun, tuduhan itu berulang kali dinafikan Rusia.

Mac lalu, empat suspek yang bertanggungjawab dalam nahas itu mula dibicarakan.

Proses perbicaraan dijangka memakan masa berbulan-bulan.

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Rusia susulan perkembangan ini.

Moscow sebelum ini mengemukakan beberapa teori mengenai dalang yang menembak jatuh pesawat MH17.