Mayat legenda bola keranjang Amerika Syarikat, Kobe Bryant dan tiga individu lain yang terbunuh dalam nahas helikopter di California Ahad lalu sudah dikenal pasti.

Kesemua mereka dikenal pasti melalui hasil pemeriksaan cap jari yang dilakukan.

Menurut Pejabat Koroner Los Angeles selain Bryant, tiga individu berkenaan ialah John Altobelli, 56; Sarah Chester, 45, and juruterbang, Ara Zobayan, 50.

Sementara itu, lima lagi individu yang maut belum dapat disahkan identiti mereka iaitu anak perempuan Bryant, Gianna; 13, anak perempuan Chester, Payton;13, isteri Altobelli, Keri dan anak perempuan, Alyssa, serta jurulatih bola keranjang sekolah, Christina Mauser.

Mayat terakhir berjaya ditemui di kawasan pergunungan Calabasas pada Selasa.


Pasukan siasatan menjangkakan punca kejadian nahas helikopter itu akan mengambil masa berbulan-bulan.

Dalam kejadian Ahad itu, Bryant dan sembilan individu lain maut dalam nahas helikopter peribadi semasa berada pada ketinggian 2,300 kaki di udara, sebelum terhempas ke tanah dekat Calabasas, California.

Juruterbang dipercayai cuba mendaki ke altitud yang lebih tinggi untuk mengelak daripada kepulan awan. Komunikasi terakhir direkodkan pada 9.45 pagi Ahad diikuti dengan panggilan telefon kecemasan dua minit kemudian.

Serpihan badan helikopter itu dijumpai berselerakan di lokasi tragedi.

Bryant adalah Juara NBA lima kali dan beraksi bersama Los Angeles Lakers selama 20 tahun sebelum bersara pada April 2016.