White House memulakan perbincangan tidak formal dengan Republikan dan Demokrat di Kongres tentang perincian untuk pusingan baharu pakej rangsangan negara itu.

Menurut laporan Reuters, perbincangan berkenaan dilakukan pada Ahad ketika angka pengangguran yang dijangka bertambah buruk.

Antara perincian yang dilaporkan dibincangkan adalah bantuan kepada negeri yang kedudukan kewangannya terjejas teruk akibat COVID-19.

Perincian lain yang dijangka dimasukkan dalam pelan ini adalah bantuan makanan untuk membantu warga Amerika Syarikat (AS) yang kehilangan pekerjaan dan akses kepada jalur lebar.

Pada April, kadar pengangguran di AS meningkat kepada 14.7 peratus.

Ini adalah kadar pengangguran tertinggi pernah direkodkan sejak The Great Depression pada 1930-an.

Pakar ekonomi menjangka kadar pengangguran sebenar April adalah lebih tinggi jika diambil kira mereka yang tidak memohon bantuan pengangguran.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dilaporkan menyatakan pelan rangsangan baharu berkenaan akan mengambil masa beberapa minggu, biarpun Demokrat dilaporkan telah memulakan perbincangan.

Tambah Mnuchin, pelan ini perlu dirangka dengan lebih berhati-hati kerana ia akan menggunakan wang pembayar cukai dan tidak mahu dengan sewenangnya membiayai negeri yang gagal menguruskan kewangan dengan baik.

Sejak awal Mac, Kongres telah meluluskan bantuan sebanyak AS$3 trilion untuk melawan kesan arahan tinggal di rumah kepada ekonomi AS.

Arahan tinggal di rumah ini telah mengakibatkan kebanyakan aktiviti ekonomi musnah kerana tiada orang berbelanja dan kedai ditutup.

Dalam satu kenyataan, Penasihat Ekonomi White House, Kevin Hasset menyatakan kadar pengangguran di AS mungkin meningkat ke paras 20 peratus pada Mei atau Jun.

Ini sebelum ekonomi AS memasuki pemulihan yang dijangka pada suku ketiga.