Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata syarikat itu telah melakukan 'kesilapan' dalam menguruskan data lebih 50 juta penggunanya.

Justeru, dia berjanji untuk mengambil langkah lebih tegas termasuk menghadkan akses pembangun aplikasi dari mendapatkan maklumat dari platformnya.

Rangkaian terbesar media sosial itu kini berhadapan peningkatan pemantauan oleh kerajaan di Eropah dan Amerika Syarikat susulan dakwaan pendedahan maklumat mengenai syarikat penasihat berpengkalan Di London, Cambridge Analytica.

Syarikat itu didakwa diberikan akses untuk mendapatkan maklumat mengenai pengundi sewaktu pilihan raya Amerika Syarikat, seterusnya membantu kemenangan presiden Donald Trump pada tahun 2016.

Zuckerberg, dalam komen pertamanya di Facebook sejak skandal itu meletus berkata Facebook “membuat kesilapan, lebih banyak perlu dilakukan dan kami perlu berusaha lebih keras dan melakukannya.”

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut apakah kesilapan yang telah dilakukan dan berkata Facebook akan menyiasat aplikasi yang menggunakan platform Facebook, menghadkan pembangunnya dari mendapatkan data, dan memberikan pengguna Facebook pilihan untuk menghalang sebarang data peribadi mereka dikongsi.

Zuckerberg pada Isnin telah dipanggil oleh Ahli Parlimen United Kingdom (UK) untuk memberi jawapan berhubung kontroversi Cambridge Analytica yang melibatkan pendedahan jutaan data pengguna laman media sosial itu.

Ketua Jawatankuasa Parlimen UK, Damian Collins dalam satu surat berkata, beliau mahu Zuckerberg menjawab tentang "kegagalan" yang sedang melanda Facebook yang melibatkan data peribadi pengguna.