Mahkamah Tinggi Singapura telah membenarkan permohonan beberapa syarikat untuk menyekat akses internet kepada 17 domain yang dikaitkan dengan laman penstriman filem cetak rompak dan 41 domain berkaitan aplikasi alat penstriman haram (ISD).

Dalam satu kenyataan oleh Persatuan Industri Video Asia (AVIA) hari ini, permohonan itu dikemukakan oleh BBC Studios, Discovery, Premier League, La Liga, dan TVB.

Aplikasi itu didakwa mudah didapati di Sim Lim Square, serta beberapa laman web e-pasaran.

AVIA berkata ekosistem yang diwujudkan oleh laman web penstriman cetak rompak dan ISD itu telah memberi impak negatif kepada keseluruhan perniagaan yang terbabit dalam penghasilan dan pengedaran kandungan yang sah.

Mengubah suai ISD dengan aplikasi untuk menstrim kandungan dari pelayan yang tidak sah di sisi undang-undang membolehkan pengguna mengakses kandungan premium, siaran langsung sukan, serta filem dengan harga sekali bayar atau one-off.

Penjualan kandungan secara haram itu termasuk pengiklanan, katanya lagi, memberi keuntungan terus kepada poket sindiket dan perseorangan.

Menurut pengurus besar Gerakan Anti Cetak Rompak Avia, Neil Gane, industri kandungan akan terus melaksanakan segala usaha untuk menghalang jenayah itu daripada terus berleluasa.

Ujarnya lagi, pengguna yang membeli kandungan secara haram, bukan sahaja membiayai kewangan sindiket itu, malah hanya akan membawa kerugian sekiranya laman web dan saluran itu tidak lagi berfungsi.

Menurut kajian mengenai tingkah laku pengguna dalam talian di Singapura, 17 peratus rakyat negara itu, di mana 32 peratus daripada mereka, berusia antara 18 hingga 24 tahun, mempunyai akses kepada laman web cetak rompak dan torrent.