Machu Picchu sekali lagi merangkul anugerah Tarikan Pelancong Terkemuka Dunia pada tahun ini, demikian menurut Lembaga Promosi Pelancongan dan Eksport Peru (PromPeru).

Majlis Gala Grand Final Anugerah Pelancongan Dunia (WTA) 2018 yang berlangsung di Lisbon, Portugal baru-baru ini mendedahkan jenama pelancongan terbaik di dunia.

Semasa acara itu, negara Inca tersebut turut menggondol dua lagi anugerah iaitu Destinasi Kulinari Terkemuka Dunia (buat kali ketujuh) dan Destinasi Kebudayaan Terkemuka Dunia.

Pada September, WTA telah mengumumkan para pemenang bagi rantau Amerika Selatan.

Pada majlis itu, Peru memenangi empat anugerah iaitu Tarikan Pelancong Terkemuka, Destinasi Kulinari Terkemuka, Destinasi Kebudayaan Terkemuka dan Lembaga Pelancong Terkemuka.

Machu Picchu adalah sebuah kubu kota Inca abad ke-15, yang terletak di Cordillera Timur di selatan Peru, di wilayah pergunungan pada ketinggian 2,430 meter di atas paras laut.

Kebanyakan ahli arkeologi percaya bahawa Machu Picchu telah dibina sebagai sebuah estet untuk Maharaja Inca, Pachacuti (1438-1472).

Puak Inca telah membina estet itu sekitar 1450 namun meninggalkannya seabad kemudian semasa Penaklukan Sepanyol.

Machu Picchu telah dibina dalam gaya klasik Inca dengan dinding batu kering yang berkilat.

Tiga struktur utamanya terdiri daripada Intihuatana, Kuil Matahari dan Ruangan Tiga Jendela.

Machu Picchu telah diisytihar sebagai sebuah Sanktuari Bersejarah Peru pada 1981 dan Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1983.

Pada 2007, Machu Picchu telah dipilih sebagai satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Baharu dalam satu tinjauan internet di seluruh dunia.

-- BERNAMA-NNN-ANDINA