Umpan kanak-kanak main permainan komputer, itu modus operandi seorang lelaki di Bangkok yang didapati bersalah mengeksploitasi budak bawah umur untuk aktiviti tidak bermoral.

Kanak-kanak itu masuk ke rumah Yuttana Kodsap, 31, hanya dengan tujuan bermain permainan komputer.

Namun, siapa sangka kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun itu sebenarnya diperangkap untuk rakaman video pornografi.

Lelaki warga Thailand itu memikat perhatian mangsa-mangsanya dengan permainan komputer dan kemudian memaksa mereka melakukan aksi seksual yang dirakam dan dijual menerusi sebuah aplikasi chat.

Yuttana akhirnya diheret ke muka pengadilan dengan hukuman penjara selama 374 tahun untuk perbuatan keji itu.

Selain itu, Yuttana turut diarahkan untuk membayar 800,000 Thai baht (bersamaan dengan RM110,388) sebagai pampasan kepada lima mangsanya, menurut laporan Reuters.

Pihak guaman berkata tempoh hukuman yang memecah rekod itu akan menjadi amaran kepada penjenayah lain.

Kes itu merupakan kes kedua di Thailand yang mana pihak tertuduh dijatuhi hukuman penjara lebih 300 tahun.

Tahun lepas, mahkamah jenayah menjatuhkan hukuman penjara selama 309 tahun ke atas tiga lelaki yang memperdagangkan kanak-kanak untuk pelacuran.

Menurut Papop Siamhan, seorang peguam bebas serta pakar dalam pemerdagangan manusia, kes pelacuran kanak-kanak lazimnya dijatuhi hukuman penjara yang panjang kerana ia melibatkan beberapa undang-undang serta jumlah mangsa yang ramai.

“Hukuman penjara yang panjang akan menjadi pencegahan kerana orang lebih khuatir untuk melakukan jenayah tersebut,” kata Papop.

Tambahnya, “Ia juga akan mendorong pihak berkuasa dan hakim-hakim untuk lebih berhati-hati apabila menangani kes sebegini.”

Awal tahun ini, Amerika Syarikat memuji Thailand atas hukuman yang dijatuhkan ke atas penjenayah pemerdagangan manusia dalam laporan tahunan Trafficking in Persons (TIP).

Thailand tersenarai sebagai Tier 2 dalam laporan tersebut yang bermaksud banyak inisiatif telah diusahakan untuk mencegah jenayah itu.