Percutian seorang pelancong dari Britain di Dubai bertukar mimpi ngeri.

Lelaki terbabit dikenakan saman AS$47,600 (RM194,000) dalam tempoh kurang empat jam selepas dia menyewa kereta mewah, Lamborghini Huracan.

Saman tersebut dikeluarkan selepas lelaki itu dilaporkan memandu melebihi had laju berpuluh kali di laluan sibuk di bandar tersebut pada awal pagi semalam.

"Dia memandu sehingga 240 kilometer sejam dan dikesan setiap kamera perangkap laju di Jalan Sheikh Zayed," menurut laporan akhbar The National.

Pemilik perniagaan kereta sewa itu berkata, lelaki terbabit telah meninggalkan pasportnya sebagai jaminan.

"Kereta itu masih bersama pelancong terbabit dan diparkir di hotel tempat dia menginap. Kami tidak akan mengambil semula kerana ia adalah kesalahannya. Jadi, dia perlu membayar kesemua saman itu," kata rakan kongsi perniagaan itu, Faris Mohammed Iqbal. - BBC