Pengendali percutian kapal mewah, Royal Caribbean Cruises diperintahkan oleh mahkamah Amerika Syarikat dekat Florida untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang maut akibat serangan jantung di atas kapal sebanyak AS$3.38 juta (RM13.38 juta).

Mangsa, Richard Puchalski bercuti di atas kapal mewah itu bersama keluarganya pada Julai 2016 untuk meraikan hari jadinya yang ke-70 sebelum mengadu sesak nafas.

Puchalski kemudian berjumpa dengan Dr. Amanda Saunders yang sedang berkhidmat di atas kapal mewah itu.

Lelaki itu kemudiannya diberikan rawatan dan bantuan ubat sebelum dihantar semula ke biliknya untuk berehat sebelum rebah setengah jam selepas itu.

Dua jururawat dihantar untuk memberi bantuan kepada mangsa, namun tidak menyediakan sebarang bentuk rawatan.

Mangsa kemudian dibawa semula berjumpa Dr. Saunders, namun peguam keluarganya, Michael Haggard berbalah mengatakan berlaku kelewatan mangsa dibawa ke darat untuk rawatan lanjut.

Puchalski dilaporkan meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa di hospital di Juneau, Alaska.

Mahkamah membenarkan tuntutan dibuat mengatakan Dr. Saunders sepatutnya memaklumkan keluarga mangsa untuk menjalankan pemeriksaan lanjut dan pemantauan.

Juri di mahkamah di Miami berpendapat terdapat kecelaruan antara Dr. Saunders dan Puchalski sekali gus meletakkan 70 peratus kesalahan berpunca daripada Royal Carribean.

“Kami tidak bersetuju dengan keputusan kes ini. Kami sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang dan akan membuat rayuan berhubung keputusan itu,” kata Royal Carribean dalam satu kenyataan balas.