Seorang pemuda yang dikenali sebagai Sudir menjadi mangsa terbaharu insiden maut dibaham harimau di Indonesia.

Ketika kejadian pada Selasa, mangsa bersama empat rakannya sedang mengumpul daun nipah untuk digunakan bagi membuat atap rumah kampung namun malang tidak berbau apabila dia dibaham oleh seekor harimau Sumatera di Taman Negara Sembilangdi sini, jelas pegawai taman berkenaan, Afan Absori.

Harimau Sumatera itu dikatakan telah membaham mangsa sehingga maut dengan meninggalkan kesan gigitan di seluruh badan mangsa, kata pihak berkuasa pada Khamis .

Kumpulan itu dikatakan sedang bersiap untuk meninggalkan Taman Negara Sembilang di kepulauan Sumatera selepas waktu malam, namun mangsa yang berumur 25 tahun kedengaran menjerit dipercayai kerana diserang harimau tersebut.

Rakan mangsa, Afan berkata kumpulan mereka melihat seekor harimau mendekati Sudir dan rakannya yang lain melarikan diri bagi mendapatkan bantuan dari penduduk yang tinggal berdekatan.

“Namun selepas mereka kembali, harimau tersebut telah hilang dan telah membaham Sudir,” tambahnya.

Terdapat beberapa kes sejak tahun kebelakangan dimana harimau membaham mangsa di Indonesia terutamanya di kawasan habitat haiwan itu yang musnah dan lebih terdedah kepada manusia.

Sudir disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata pihak taman negara selain memberitahu bahawa mereka tidak sepatutnya berada di kawasan tempat terjadinya serangan kerana ia merupakan kawasan larangan.

Harimau Sumatera merupakan spesis terancam bawah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (WWF) yang kini hanya wujud sekitar 400 ke 500 ekor sahaja.

Taman Negara Sembilang merentasi pesisiran pantai timur Sumatera dan merupakan habitat kepada pebagai haiwan eksotik seperti gajah, ungka dan harimau akar.