AWAL-AWAL lagi ketibaan Donald Trump di Britain untuk lawatan rasmi pada Isnin dlihat seperti sedang 'menyibuk' hal rumah tangga orang lain.

Ini kerana Presiden Amerika Syarikat (AS) itu seperti mahu campur tangan dalam urusan Brexit, proses peralihan kepimpinan Britain serta kontroversi yang berkaitan dengan syarikat gergasi China, Huawei.

Presiden AS ke-45 itu yang bangga dengan status kedegilannya itu sebetulnya mempunyai agenda tersendiri khususnya menunjuk sokongan terhadap salah seorang calon pengganti May selain mendesak United Kingdom untuk lebih tegas terhadap produk Huawei yang diharamkan penjualan di negara Unlcle Sam itu oleh pentadbirannya

“Saya berharap untuk menjadi rakan baik United Kingdom (UK) dan saya benar-benar berharap menerusi lawatan ini,” kata Trump menerusi Twitternya sebelum pesawat Air Force One mendarat.

Reuters melaporkan, sebelum berlepas ke UK, Trump mengulangi kenyataannya bahawa terdapat sebuah peluang untuk “perjanjian perdagangan yang sangat signifikan” antara dua negara tersebut pada masa depan.

Dalam sebuah temubual bersama akhbar Sunday Times, Trump berkata pemimpin Britain seharusnya menghantar tokoh Brexit, Nigel Farage untuk mengendalikan perbincangan dengan pihak Kesatuan Eropah (EU).

Bahkan, Trump juga mengingatkan Britain agar meninggalkan EU pada tahun ini juga

Brexit merupakan gerakan geopolitik yang paling penting bagi United Kingdom sejak Perang Dunia Kedua dan jika itu menjadi kenyataan, London akan lebih bergantung terhadap AS memandangkan ikatannya dengan 27 negara anggota EU lain sudah longgar.

Dalam pertemuan dengan May, Trump dijangka memberi amaran kepada Britain bahawa kerjasama keselamatan boleh diancam jika London membenarkan Huawei memainkan peranan dalam pembinaan jaringan 5G, generasi seterusnya dalam dunia teknologi selular.

Pihak pentadbiran Trump telah memberitahu sekutu-sekutunya untuk tidak menggunakan teknologi dan peralatan 5G kerana terdapat kesyakan bahawa ia membenarkan kerajaan China untuk mengintip dalam komunikasi dan maklumat sulit.

Huawei menafikan syarikat bekrkenaan dikawal dan menjadi ejen risikan China.

Dalam apa keadaan sekalipun, hubungan istimewa Britain dengan AS tetap kukuh sekalipun terdapat segelintir pengundi British yang menganggap Trump sangat kasar, tidak tetap pendirian dan bertentangan dengan nilai mereka mengenai isu-isu seperti pemanasan global dan sikapnya terhadap wanita.