Sebuah lapangan terbang domestik di timur laut Thailand ditutup pada Jumaat selepas berlaku kebakaran akibat kejadian litar pintas, menurut pihak berkuasa lapangan terbang tersebut hari ini.

Lapangan terbang Khon Kaen, pusat pengangkutan dan pintu masuk ke timur laut Thailand, menerima penerbangan dari Bangkok dan Chiang Mai, destinasi pelancongan terkenal di utara negara itu.

“Berapa lama lapangan terbang akan ditutup masih belum ditentukan,” kata pegawai perhubungan awam di Jabatan Penerbangan Awam.

Semua penerbangan telah dipesongkan ke lapangan terbang Udon Thani, tambahnya.

Pihak berkuasa masih lagi belum memutuskan sama ada penerbangan boleh diteruskan pada tengah hari, katanya.

Setiap hari, 18 penerbangan melibatkan empat syarikat menggunakan lapangan terbang Khon Kaen.

Syarikat penerbangan tersebut adalah Nok Air, Thai AirAsia, Thai Lion Air dan Thai Smile, anak syarikat Thai Airways.