Sebuah kajian genetik terbaharu mendapati bahawa kuda liar sebenar sudah tidak wujud di dunia ini.

Populasi kuda yang ditemui di dataran rumput Mongolia sebenarnya berasal daripada kuda-kuda yang pernah dijinakkan pada zaman terdahulu, lapor Reuters.

Laporan yang diterbitkan jurnal Science itu mungkin akan mengecewakan para peminat haiwan tersebut.

Kuda Przewalski, yang kini secara kasarnya hanya tinggal 2,000 ekor di Mongolia, selama ini dianggap sebagai kuda liar terakhir di dunia – iaitu merujuk kepada baka yang tidak pernah dijinakkan.

Di sebelah barat Amerika, kuda Mustang yang dilihat bebas berlari di hamparan terbuka bukan dianggap kuda liar sebenar kerana ia mempunyai kaitan dengan baka yang pernah dibawa dari Amerika Utara berkurun-kurun lalu oleh orang Sepanyol.

Pasukan penyelidik pada Khamis memberitahu, ujian genom ke atas berpuluh-puluh kuda zaman ini termasuk kuda Przewalski, yang pernah diselamatkan dari kepupusan pada kurun ke-20, sebenarnya warisan daripada kuda-kuda yang dijinakkan di Kazakhstan kira-kira 5,500 tahun lalu oleh mereka yang hidup dalam budaya Botai.

Kajian itu menunjukkan budaya Botai menyimpan bukti terawal tentang usaha menjinakkan kuda.

“Dunia sudah tiada kuda liar sejak ratusan atau mungkin ribuan tahun lalu, namun kita baru saja tahu tentang fakta ini menerusi hasil kajian ini,” ujar salah seorang penyelidik, Sandra Olsen, zooarkeologi dari University of Kansas.

Sejarah manusia dan kuda smemangnya saling berkaitan sejak ribuan tahun lamanya.

Kuda Przewalski mempunyai ciri fizikal yang kecil dan berotot, berwarna perang kekelabuan, serta mempunyai bulu tengkuk yang gelap dan tercacak. - Foto: Zoo San Diego

“Usaha menjinakkan kuda adalah suatu inovasi kritikal.

"Menunggang kuda adalah kaedah pengangkutan paling pantas selama ribuan tahun, sejak Zaman Gangsa pada 5,000 tahun dahulu sehingga zaman kewujudan kereta api wap.

“Kemudian, hanya kereta yang menggantikan fungsinya secara besar-besaran. Kuda membawa revolusi penting dalam pergerakan manusia, perdagangan dan kaedah peperangan,” ujar pakar arkeologi Alan Outram, dari University of Exeter di England.

Kuda Przewalski secara relatifnya mempunyai fizikal kecil dan berotot. Sama seperti gambaran kuda yang dilukis dalam gua pra-sejarah, Przewalski berwarna perang kekelabuan, dengan bulu di bahagian tengkuk yang gelap dan tercacak.

Populasi kuda jenis itu pada zaman ini adalah daripada 15 ekor yang ditangkap berkurun-kurun dahulu, dan ia kembali dilepaskan ke habitat liar dengan nama Przewalski.

Sebahagian daripada kuda-kuda yang dijinakkan dalam komuniti Botai telah melarikan diri dan menjadi kuda Przewalski yang 'bebas dari kepungan kandang', jelas penyelidik tersebut.

"Ini bermakna, kita harus terus mencari keturunan asal baka kuda moden ini dengan mengumpulkan sampel dari tempat-tempat seperti Ukraine, barat Rusia, Hungary, Poland dan di sekitar rantau berkenaan," jelas Olsen.