Ketua Eksekutif Macau, Ho Iat Seng menggesa semua kasino di wilayah tersebut ditutup selama dua minggu.

Ia susulan seorang pekerja agensi pelancongan dikesan positif novel koronavirus (2019-nCoV).

Kata Ho, beliau akan bertemu dengan ketua-ketua kasino bagi membincangkan perinciannya.

Katanya, ia sebagai langkah berjaga-jaga selepas jumlah jangkitan positif 2019-nCoV di China melebihi 20,000 kes.

BACA: Selepas Hong Kong, Macau pula larang kemasukan pelancong dari Hubei

BACA: Koronavirus: Hong Kong rekod kematian pertama


"Berhubung virus ini, kami tidak dapat meramal penularannya. Walaupun kami mempunyai pengalaman daripada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), angka sekarang sudah melepasi jumlah kes SARS.

"Oleh itu, kami masih tidak dapat meramal berapa lama ia akan berterusan.

"Menurut penilaian pakar yang berkaitan, kami membuat keputusan untuk menggantung industri perjudian dan perniagaan hiburan untuk dua minggu. Sekiranya keadaan bertukar stabil selepas dua minggu, perniagaan boleh diteruskan," kata Ho.


Pengangkutan awam dan perkhidmatan lain juga dikurangkan ke tahap minima bagi menangani kecemasan.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak meninggalkan rumah dan hanya keluar untuk membeli keperluan seperti makanan.

Setakat ini, di Macau, jumlah kes yang disahkan positif ialah 10 dengan kes terbaharu membabitkan seorang lelaki berumur 57 tahun.

Untuk rekod, lebih 20 kasino di Macau amat popular dalam kalangan pelancong China dan menyumbangkan kira-kira separuh daripada ekonomi tempatan selain menjana lebih empat kali ganda daripada pendapatan kasino di Las Vegas, Nevada di Amerika Syarikat.